Pocong Bayi


Catatan: Nama-nama watak dan tempat dalam kisah ini adalah rekaan semata-mata. Cerita ini juga hanyalah rekaan, dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah mati. Mungkin ada sedikit sebanyak unsur yang diilhamkan daripada kisah benar, namun telah diceritakan semula dan ditokok tambah bagi menyampaikan jalan cerita. Kisah ini dikongsikan untuk hiburan dan sebagai pesanan supaya kita lebih berhati-hati serta tidak memandang ringan perkara yang berlaku di sekeliling kita.


Malam itu, jam hampir menunjuk pukul 1:30 dinihari. Jalan yang dilalui oleh Azlan sunyi lagi panjang dan hanya cahaya lampu keretanya yang malap menembus kabus nipis yang berlegar di udara. Baru sahaja dia pulang usai menghantar barang ke tempat kerja sahabatnya di daerah sebelah.
 
Matanya terasa amat berat. Kelopak mata bagaikan memberontak, menuntut untuk terpejam. Maka dia pun memperlahankan kenderaan dan berhenti di tepi jalan. Kawasan itu kelihatan sepi, tiada satu pun rumah dan tiada cahaya lampu jalan. Hanya kedengaran bunyi cengkerik bersahut-sahutan dan desiran angin malam yang menyapa lembut.
 
“Rehat sekejaplah… mengantuk benar rasa ni,” bisiknya perlahan sambil mematikan enjin kereta. Kepala disandarkan ke tempat duduk, mata pun dipejam rapat. Angin dingin menyelinap masuk melalui celahan tingkap yang sedikit terbuka. Entah berapa lama dia terlelap, tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan perlahan di cermin tingkap kanan, “tok... tok... tok…”
 
Azlan tersentak dari lenanya. Dalam keadaan mamai dan separuh sedar, dia tidak sempat berfikir panjang. Tangannya segera menekan butang untuk turunkan cermin keretanya tanpa menoleh ke luar.
 
Di luar, kelihatan sebatang tangan pucat menghulur suatu bungkusan kain putih, berbentuk bujur panjang, seolah-olah dibalut seperti kain kafan. Tapi, Azlan tidak perasan lagi itu kain kafan kerana dia sedang mamai lagi waktu itu. Dari celah kegelapan, terdengar suara wanita dengan nada lembut tapi agak serak sedikit, perlahan dan bergetar, “Abang… Abang tolong pegang sekejap… ini barang saya ni…”
 
Azlan yang masih dibuai mengantuk hanya mengangguk kecil. “Oh… ya, ya…” jawabnya perlahan sambil menyambut bungkusan itu. Namun, sebaik dia menoleh untuk melihat wajah si empunya suara, tiada sesiapa pun di luar. Cahaya lampu kereta hanya menampakkan jalan berdebu dan semak samun di tepi. Darahnya terasa berderau. Nafasnya tertahan-tahan. Dia menelan air liur perlahan.
 
Apabila matanya jatuh pada pangkuannya, bungkusan kain putih itu kelihatan terbuka sedikit. Ketika itu baru dia perasan itu kain kafan bukannya sekadar kain putih biasa. Dari celahan kain yang longgar itu, ternampak wajah kecil seorang bayi yang kulitnya hitam legam, matanya separuh tertutup, dan ulat putih merayap di pipi yang reput. Bau busuk menusuk hingga ke ulu hidung dan wajah bayi tersebut kelihatan sangat mengerikan.
 
Azlan menjerit kecil lalu mencampakkan bungkusan itu ke luar tingkap! Nafasnya sesak, peluh dingin mula menitis di dahi. Tanpa berfikir panjang, dia segera menghidupkan enjin dan memecut keretanya laju di jalan sunyi itu.
 
Namun, belum sempat jauh, cahaya lampu hadapan kereta menyuluh sesuatu di tengah jalan iaitu satu sosok tubuh berdiri tegak iaitu sosok Pocong. Tubuhnya terikat kemas dengan kain putih, wajahnya tunduk tidak kelihatan. Tapi darah Azlan serta-merta menjadi beku apabila terlihat pocong itu sedang mendukung pocong bayi yang sama seperti dia riba tadi.
 
Dia menjerit ketakutan terus menekan brek, dan menutup mata rapat-rapat. Bila dibuka kembali, tiada apa-apa di hadapan. Jalan sunyi seperti sediakala. Namun bau busuk mayat kini menyelubungi ruang dalam kereta. Perlahan-lahan dia menoleh ke tempat duduk belakang… dan di situ ada bungkusan putih tadi terletak elok, dengan pocong bayi sedang menatapnya sambil tersenyum kecil.
 
Azlan kaku, tidak mampu bersuara. Mata kecil itu memandangnya kosong, bibir hitam mengukir senyum. Dengan tubuh menggigil, dia mula membaca apa sahaja ayat suci yang terlintas di benaknya, Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, tiga Qul. Semua dibacanya dengan suara terketar-ketar tanpa berfikir apa-apa dah masa itu.
 
Namun setiap kali dia menjeling ke cermin pandang belakang, pocong bayi itu seakan semakin hampir. Mula-mula di tempat duduk belakang, kemudian sudah berada di sebelah tempat duduk penumpang. Azlan terpekik kecil, terus menekan minyak. Kereta meluncur deras menembusi malam. Tidak lama kemudian, dia terlihat sebuah stesen minyak kecil di hadapannya dan ianya satu-satunya tempat yang terang di jalan gelap itu.
 
Dia segera berhenti, keluar tergesa-gesa, cuba menenangkan diri. Nafasnya masih tercungap-cungap. Setelah agak reda, dia menoleh ke dalam kereta dan kini kosong. Tempat duduk belakang bersih seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku. Azlan termenung lama. “Mungkin aku bermimpi…  Ataupun aku terlalu penat agaknya,” bisiknya perlahan, memujuk diri sendiri.
 
Dia melangkah ke tandas kecil di stesen itu, membasuh muka dan mengambil wuduk. Setelah kembali tenang, dia menuju ke keretanya. Namun tatkala pintu dibuka, pandangannya terpaku di atas tempat duduk pemandu. Disitu terletak sehelai kain putih bujur panjang, dan di atasnya, sehelai nota lusuh bertulisan dakwat merah berbunyi, “Terima kasih abang… Abang dah tolong jaga anak saya.”
 
Azlan kaku. Dada berombak menahan debar. Nota dan kain itu diletakkan di atas lantai stesen minyak, tanpa berani disentuh lagi. Angin malam bertiup perlahan, membawa bersama harum bunga kemboja. Dia menoleh ke sekeliling stesen minyak yang sunyi itu dan di hujung pagar, di bawah sepohon pokok besar, kelihatan seorang wanita berpakaian putih, berdiri tegak, mendukung sesuatu di tangannya seperti seorang bayi.
 
Wanita itu tersenyum halus kepada Azlan dan perlahan-lahan, jasadnya hilang ditelan kabus malam. Azlan tidak menunggu lagi dan dengan segera dia masuk ke dalam kereta, membaca doa perjalanan, lalu memandu meninggalkan tempat itu. Sepanjang jalan pulang, tiada lagi gangguan.
 
Namun setiap kali melalui jalan sunyi di waktu malam, wajah wanita berpakaian putih itu sering terbayang di ingatannya bersama senyuman pocong kecil di ribanya, yang seakan masih menatap dari kejauhan.


Terima kasih kerana membaca Cerita ini,
Cerita ini ditulis oleh MakSom Lembayung.
Gambar hanyalah sebagai hiasan sahaja.

Comments