Catatan: Nama-nama watak dan lokasi dalam kisah ini telah diubah demi menjaga privasi. Cerita ini diinspirasikan daripada kisah benar yang diceritakan secara lisan oleh beberapa penduduk tempatan di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut, lalu disatukan dan disusun semula menjadi sebuah naratif lengkap. Sekarang, kisah ini diceritakan semula untuk tujuan hiburan dan pengajaran, agar kita lebih berhati-hati apabila berada di tempat yang tidak kita kenali.
Di sebuah kampung di Perak pada tahun 1998, ada sebuah balai raya lama yang sering digunakan untuk majlis kenduri, mesyuarat JKKK, dan sambutan hari raya. Bangunan itu ada satu tandas kecil di bahagian belakang, berhampiran pokok mangga besar.
Orang kampung tahu tandas itu agak pelik, sebab setiap kali malam Jumaat, air dalam baldi selalu penuh walaupun paip air ditutup. Ada juga yang kata terdengar bunyi orang menarik flush tandas berulang-ulang walaupun balai raya berkunci.
Suatu malam, selepas gotong-royong kenduri kahwin, seorang pemuda bernama Hafiz pergi ke tandas itu. Masa dia masuk, lampu di siling berkelip-kelip, bunyi cengkerik pula senyap tiba-tiba. Dia mula rasa tak sedap hati.
Dia melangkah masuk ke tandas dan membuka paip air. Tidak lama selepas itu, dia mendengar bunyi orang menarik flush tandas di sebelahnya. Hafiz berfikir sejenak, “Aku rasa tak ada orang tadi di sebelah aku dan tandas sebelah aku ni pintunya terbuka jer tadi.” Tapi Hafiz tidak peduli sangat hal tersebut. Dia terus keluar dari tandas selepas selesai hajatnya dan pergi ke singki untuk membasuh muka.
Ketika menunduk, dia perasan sesuatu yang pelik. Iaitu pantulan di cermin tandas tidak sama dengan gerak tubuhnya. Hafiz berhenti dan pandang tepat ke cermin. Wajahnya kelihatan normal, tapi di belakang pantulan itu ada sosok berdiri kaku, terikat kain putih dari kepala sampai kaki. Pocong itu tidak bergerak, hanya merenungnya dengan mata kosong.
Hafiz berpaling ke belakang dengan cepat tetapi tak ada apa pun disana dan tiada sesiapa pun. Dia pandang semula ke cermin, sosok itu masih ada dan semakin dekat, walaupun realitinya ruang di belakangnya kosong.
Peluh sejuk mula menitis di wajahnya dan tangan Hafiz sudah terketar-ketar. Dia cuba melaungkan azan, tapi suaranya tersekat. Di dalam cermin, kelihatan pocong itu membuka mulut luas seolah-olah menjerit, tapi tiada bunyi yang keluar.
Dalam keadaan panik, Hafiz terus keluar berlari dari tandas tanpa menoleh lagi. Sejak kejadian itu, tandas balai raya tersebut dikosongkan dan digembok. Ada yang mengatakan kubur lama yang terletak tidak jauh dari belakang balai raya, dan roh itu mungkin terikat di situ. Ada pula yang mengatakan, itu pocong belaan. Walau bagaimanapun, kita tak tahu apa sebenarnya dan betul atau tidak benda itu datang dari kubur lama atau belaan ke apa. Apa yang anda rasa? Cuba beritahu komen anda?
Terima kasih kerana membaca Cerita ini,
Cerita ini ditulis oleh Mr.Aifar.
Gambar hanyalah sebagai hiasan sahaja.

Comments
Post a Comment