Catatan: Nama-nama watak dan lokasi dalam kisah ini telah diubah demi menjaga privasi. Cerita ini diinspirasikan daripada kisah benar yang diceritakan secara lisan oleh beberapa penduduk tempatan di sekitar kawasan utara Semenanjung Malaysia. Ia merupakan kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut, lalu disatukan dan disusun semula menjadi sebuah cerita lengkap. Sekarang, kisah ini diceritakan semula untuk tujuan hiburan dan pengajaran, agar kita lebih berhati-hati apabila berada di tempat yang tidak kita kenali.
Kisah ini berlaku di Hotel Sri Kenangan, Kuala Perlis. Mungkin tak ramai tahu kisah seram yang pernah berlaku di bilik hujung tingkat 4. Walaupun hotel ini dah berusia lebih 30 tahun, ada sesuatu yang ‘masih menetap’ di sana, bukan manusia. Ini kisah benar yang telah diceritakan semula oleh bekas pekerja hotel itu sendiri.
Pada tahun 2018, seorang pelajar kolej bernama Iwan menginap di Hotel Sri Kenangan. Dia ke Kuala Perlis untuk menghadiri temuduga latihan industri. Bajet tak besar, jadi dia ambil bilik single paling murah iaitu Bilik 414, bilik paling hujung di tingkat 4.
Malam pertama, semuanya biasa. Tapi Iwan rasa bilik itu pelik kerana lampu malap, bau hapak macam kain buruk dan dari satu sudut dalam bilik itu selalu rasa lebih sejuk daripada tempat lain. Dia fikir aircond bocor, tapi tiada titisan air.
Tengah malam, Iwan tersedar sebab terdengar bunyi ketukan pintu, “Tuk... tuk... tuk…” Dia tengok jam waktu itu pukul 2:13 pagi. Bila dia buka pintu, tak ada sesiapa. Tapi sebelum dia tutup pintu, dari hujung koridor, dia nampak satu sosok putih berdiri tegak... macam dibalut kain. Tak bergerak langsung. Dia terus tutup dan kunci pintu.
Iwan tanya penyambut tetamu, “Korang ada cleaner buat kerja malam ke semalam? Macam nampak orang pakai kain putih berdiri malam tadi.” Penyambut tetamu itu diam sekejap, lepas itu dia jawab, “Encik tidur bilik mana tadi?”
“Bilik 414.” Jawab Iwan kepada mereka. Penyambut tetamu itu pandang kawan dia, kemudian cuma balas, “Kalau boleh, malam ini jangan keluar bilik.” Malam tu, Iwan memang tak keluar. Tapi sekitar jam 3 pagi, dia terjaga sebab dengar bunyi kain diseret atas lantai. Bunyi itu makin kuat dan berhenti depan pintu bilik.
Tiba-tiba, tombol pintu dipulas-pulas kuat, macam ada orang nak masuk. Iwan bangun perlahan-lahan dan ambil kerusi untuk sekat pintu. Tapi waktu dia berpaling ke arah cermin, sesuatu paling menakutkan berlaku. Di belakangnya, ada pocong berdiri betul-betul di tepi katil. Mukanya berlubang dengan bau busuk dan matanya kosong. Bau hanyir mayat memenuhi bilik.
Pocong itu melompat ke arahnya. Tapi sebaik saja Iwan baca ayat Kursi, semuanya hilang. Iwan terus berasa lega dan pagi esoknya, Iwan terus check out. Sebelum dia pergi, seorang cleaner tua tegur dia, “Bilik itu dulu adalah tempat seorang perempuan bunuh diri. Dia gantung diri guna kain kapan arwah suami dia. Tak sempat dikebumi pun kain itu, hilang entah ke mana. Sejak itulah, ramai nampak benda melompat-lompat di tingkat 4.”
Sejak kejadian itu, bilik 414 tak lagi dibuka untuk tetamu. Tapi, setiap malam, security masih dengar bunyi pintu diketuk dari dalam bilik kosong itu. Adakah ‘dia’ masih mencari sesuatu? Atau masih menunggu orang terakhir yang melihatnya? Kalau anda datang ke sini, adakah anda akan pilih bilik tersebut untuk menginap?
Terima kasih kerana membaca Cerita ini,
Cerita ini ditulis oleh Zairithm.
Gambar hanyalah sebagai hiasan sahaja.

Comments
Post a Comment